Sunday, 2 September 2012

bahagia @ derita itu kita yang pilih...?


Betul ke? siapalah yang ingin pilih derita, setiap orang impikan bahagia...
Benar atau tidak itu bukan jua persoalannya..., kadang kita berdepan dengan tiada pilihan dan yang ada hanyalah melaluinya dengan semampu yang boleh. walau sakit, walau perit ia perlu diteruskan!

Yea....berperang dengan emosi ternyata lebih sukar, dalam memotivasikan diri mencari pendorong dan pendokong, meredhakan segalanya agar diri lebih tenang menyusur liku-liku penuh duri, jalan yang dilalui penuh getir..namun sulit lagi untuk mendamaikan hati, apa masih ada ruang dan peluang untuk memperbaikinya...





Kesilapan...membawa kepahitan, bukan jua bererti jalan lain telah tertutup...dengan ruang-ruang yang masih ada...jejak langkah cuba diatur untuk cuba bertahan di tembok ini, dengan harapan akan temui sinar baru yang bisa menerangi gelap segenap ruang hati yang kosong ini...






Wednesday, 18 July 2012

Ramadan....

Assalamualaikum......

Ramadan kembali lagi.... 
Hanya tinggal beberapa hari lagi kita semua akan menyambut bulan yang suci ini.... Alhamdulilah, semoga Ramadan kali ini akan lebih baik...dari yang sebelumya. Semua ummat islam sentiasa menantikan kehadiran ramadan ini, kerana bulan ini terlalu banyak kelebihannya, bulan rezeki, bulan kasih sayang, bulan untuk muhasabah diri, bulan kesabaran dan tak kurang juga bulan yang banyak menguji tahap keimanan kita.

Bila ramadan datang hati terasa sangat sayu, nampaknya ramadan kali ini mungkin tak semeriah yang dulu...., tiba-tiba hati teringat pada si jantung hati arwah adik, pemergiannya pada ramadan yang lalu cukup meruntun hati kami sekeluarga..., sungguh kehilanganmu tiada galang gantinya, sampai hari ini pun tiada siapa yang dapat menggantikan tempatmu, betapa besar rindu ini padamu adikku, ku pohon pada Ilahi...sempena bulan yang suci ini agar dirimu selamanya tenang di sana bersama arwah ayah tercinta...
Ya Allah..telah lama ku ikhlaskan pemergianya...tapi kenapa hati ini seringkali mempersoalkannya...., ampunkan aku Ya Allah..,sungguh aku hambaMu yang lemah.

*sedikit perkongsian untuk renungan bersama:
-AMALAN DI BULAN PUASA

 Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya:  “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab:  “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.”(HR Muslim)
  Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.”(HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat.  Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering).  Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)
  Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
  Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:  “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.  Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:  “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5.  Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah berkata,  “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa.  Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)
  Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril.  Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran.  Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
 Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya.  Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran.  Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
  Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)
 Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:  “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
  Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:  “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)
  Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)


Sunday, 24 June 2012

SYAABAN-mengkifaratkan (menghapuskan) dosa.



Bulan Syaaban muncul lagi. Syaaban menandakan umat Islam semakin menghampiri Ramadhan. Marilah kita sama-sama merenung sejenak apakah pengertian Syaaban dan Malam nisfu Syaaban. Masih ramai umat Islam di luar sana keliru dan musykil tentang amalan-amalan yang sepatutnya dikerjakan pada bulan Syaaban, dan terutamanya pada malam kelima belasnya. Sebelum itu, marilah kita sama-sama mendalami dan mengenali sedikit sebanyak info tentang bulan Syaaban ini.
PENGERTIAN SYAABAN
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab. Bulan Syaaban juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Syaaban dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)

 MALAM NISFU SYAABAN
Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.” Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya :
Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.
Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”
Hari nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).

FADHILAT BULAN SYAABAN
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
  • Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
  • Bertaubat
Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.
Sabda Nabi s.a.w.: Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.
PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN
Mengenali bulan Syaaban tanpa mengetahui peristiwa penting yang berlaku di bulan Syaaban terasa tidak lengkap. Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan Syaaban. Antaranya ialah malam Nisfu Syaaban, penukaran arah kiblat, dan peperangan bani Mustaliq.

Saturday, 16 June 2012

nikmat dari kesakitan

Allah berfiman;


“Demi Sesungguhnya , Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar” Surah Al-Baqarah ayat 155.

Alhamdulilah......Engkaulah yang Maha Memberi,  Ya Allah aku hambaMu yang hina ini memanjatkan kesyukuran atas segala kurnianMu, segala kesulitan yang telah aku lalui akhirnya selesai dengan baik, sungguh nikmatMu ini tak ternilai rasanya...


Kesulitan..kepayahan dan kesakitan ini adalah satu pengajaran paling bermakna, sungguh pun hati kadang goyah bercampur emosi serta tekanan..namun dengan kecekalan, usaha dan memperbetulkan niat, Alhamdulilah segalanya aman.

Kadang-kadang Allah tidak memberi apa yang kita inginkan, tapi Dia beri apa yang kita perlukan.
Belajar bersyukur walau sedikit apa pun yang kita miliki....membuatkan kita rasa lebih tenang dan terlepas dari tekanan serta bisikan nafsu.
"Ya Robb sungguh aku begitu lemah dalam menangani setiap dugaanMu Ya Allah, ku pohon padaMu agar ditetapkan hatiku, dan ikhlaskan hatiku dalam pasrah menerima ketentuanMu amin.."

 Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman berkenaan ujian-ujian ke atas hambaNya untuk melihat sejauh mana keimanan hamba-hambaNya.Allah berfirman di dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 bermaksud “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji?


 Juga di dalam Surah Al-A’raf ayat 42, Allah berfirman maksudnya, “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh – (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

Tuesday, 12 June 2012

nilai kasih seorang AYAH


Tanggal 12 Jun 2010.......
Hilang kasih seorang ayah....
Ayah pergi dalam kami belum bersedia untuk kehilangannya..
Namun itulah kehendak Ilahi
Semuanya telah tertulis....
Tiada lambat walau sesaat dan tiada juga cepat walau sesaat.
Sungguh kasih mu tak ternilai ayah.......

Hari ini 12 Jun 2012....genap 2 tahun pemergian arwah ayah tercinta...selepas ayah pergi satu per satu ujian datang melanda dalam keluarga....sampai hari ini ku cuba kuatkan hati walau kadang aku sendiri bagai tak mampu untuk berdiri......
Berat rasanya dugaan ini...namun ku kumpul kekuatan yang masih ada ini untuk aku cuba bertahan.
Ayah...
Sungguh aku bukanlah anak yang baik...
anak yang selalu mengecewakan mu...anak yang keras hatinya...anak yang tak pernah membuat kamu senang....sedangkan itulah impianku selama ini..ingin sekali membahagiankanmu..ingin mendengar setiap hembusan nafas lega dari wajahmu..., ingin melihat senyuman bahagia dari bibirmu.....
Tapi kini...akulah yang tertinggal dari semuanya...aku hanya sedar dari kehilangan, semuanya tak bermakna...menghargai sesuatu yang telah tiada....
Ayah...
Pesan dan amanahmu akan cuba aku tunaikan selagi termampu....walau pandangan semakin kabur..jalanya ku susur berduri...sisa-sisa harapan juga berterbangan lalu....akan aku cuba..cuba....cuba!!! ku pohon agar ditetapkan hatiku.

Ya ALLAH sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun.....apakah layak bagiku seorang anak yang penuh dengan dosa ini...memohon padaMu...dan sesungguhnya aku tahu Engkaulah Maha mendengar lagi Maha Penyayang...dengan diriku yang hina ini aku bermohon padaMu Ya ALLAH.....


"...Ya ROBBI.....ku mohon..Kau ampunkanlah segala dosa arwah ayahku dari sekecil-kecil dosanya sehinggalah sebesar-besar dosanya....Kau terangilah kuburnya .....Kau lapangkanlah kuburnya... kasihanilah dia Ya ALLAH...jauhilah dia dari siksaan kubur.....kasihanilah dia Ya ALLAH .... kasihanilah dia Ya ALLAH.....Kau tempatkanlah arwah dikalangan orang-orang yang Engkau kasihi.. limpahkanlah rahmatMu ke atas rohnya agar dia tenang di sana Ya ALLAH......ku mohon Ya ALLAH...kasihanilah dia......kasihanilah dia...kasihanilah dia Ya ALLAH....amin Ya Robb.

Thursday, 24 May 2012

Peristiwa Bulan REJAB



Pengertian Rejab
Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan. Ia juga membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan.
Masyarakat jahiliyyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab mereka memuliakan dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Antara peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab ialah :
1. Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) berlaku kerana pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman r.a dan isterinya Ruqayyah anak Rasulullah s.a.w. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.
2. Isra’ dan Mi’raj
Isra’ dan Mi’raj ertinya Rasulullah s.a.w dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah s.w.t untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah s.w.t .
Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama’ mengatakan pada 27 RabiulAkhir, sebahagian  mengatakan pada 17 RabiulAwwal, sebahagian yang lain mengatakan pada  29 Ramadhan,  ada yang mengatakan pada 27 Rejab dan ada juga ulama’ yang mengatakan selain daripada tanggal-tanggal yang telah disebutkan.Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab sekalipun tidak disertai dengan alas an yang kuat. Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama’.
3.Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah s.a.w dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.
4. Pembebasan Baitul-Maqdis
Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan pepecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan keatas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembalioleh panglima Islam terkenal Solahuddin Al-Ayubi. Beliau telah menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H Yahudi pila menawan Baitulmaqdis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
5. Lahirnya Imam As-Syafie r.a
Nama sebenar Imam As-Syafie r.a ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazah, Pelestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie. Diantara peniggalan Imam As-Syafie r.a yang menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab Al-Umm.

 

Friday, 11 May 2012

Fitnah- duka dan air mata


Demi Allah semua ini adalah FITNAH semata-mata.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya bagi setiap hambaNYA.
Ku pohon kekuatan yang Allah..sungguh aku tidak kuat dalam menangani semua ini lagi...bantulah aku hambaMu yang tidak berdaya ini.
Bagaimana bisa aku menahan air mata ini lagi...bagai tersentak  hatiku bila mendengar sesuatu yang tidak benar sama sekali tentang diriku.Ini bukanlah kali pertama 'seseorang' ini berkata demikian padaku, segala kedukaan dan kepahitan yang ku pendam selama ini pecah berkecai-kecai, sakitnya hanya Allah yang tahu..
Ku cuba untuk lupakan saja semua ini, biarlah apa mereka nak kata, yang menangung segalanya adalah aku, yang melaluinya juga aku... 
Biarlah aku bersalah di depan mata mereka
Biarlah aku mengalah dengan mereka
Yang penting bagiku ALLAH mengetahuinya....
Sesungguhnya merekalah orang yang rugi, mereka mengatakan sesuatu sedangkan mereka sendiri tidak pernah tahu kebenarannya.
Buat sahabat yang sudi menjadi pendengar setia, terima kasih atas perhatianmu....terima kasih salmi shahida (amy)...



doa dijauhi fitnah






Thursday, 10 May 2012

Terjawab Segala Kekeliruan









Al-hamdulillah.....
rasa syukur ku tak terhingga pada Allah, akhirnya persoalan yang sering bermain di fikiran aku akhirnya terjawab,kesalahfahaman yang berlaku hampir sebulan itu telah terlerai jua, apa yang terjadi sebenarnya tidaklah 'seserius' yang aku sangkakan, mana tidaknya..hal ini sering mengganggu fikiran aku, aku tak nak salah faham yang terjadi berbelas tahun yang lalu berulang kembali, cukup dengan apa yang berlaku dulu..tidak lagi untuk pertemuan yang baru bermula ini.

Lega rasa hati bercampur gembira, semoga persahabatan kita akan terus terjalin dengan baik berlandaskan syariah. Sebagai seorang sahabat yang amat menghargaimu dengan nilai kasih ini..aku tak putus mendoakan kebahagian kamu dan keluarga agar sentiasa di bawah rahmat Ilahi.

Walaupun kita pernah terpisah dengan jarak masa yang agak lama... aku tak bisa membuang jauh kenangan persahabatan yang terjalin dulu. Amin Ya Robb.. bersyukur aku padaMu kerana diberi kesempatan untuk merapatkan kembali silaturrahim yang telah lama 'robek',dan untuk pertemuan baru ini kita saling melupakan kesalahfahaman yang terjadi dulu atas ketidakmatangan sikap aku...atau kita juga :-).

Buat sahabat yang selalu tak hilang dalam doaku...hanya pada Allah tempat aku memohon agar DIA merahmati persahabatan kita ini, hanya Tuhan saja yang mengetahui setiap rintihan hati ini setelah lama kita terpisah...aku sendiri tidak faham kenapa aku begitu menyayangi hubungan ini....dan hari ini aku mendapat jawapannya...kerana ini adalah anugerah yang tak ternilai dari Allah..hanya DIA yang Maha Mengetahui atas segala kehendakNya dan hari ini juga aku menikmati hikmah yang tersembunyi itu....Alhamdulillah amin




Sunday, 22 April 2012

rindu (buat arwah adik tersayang)

Al Fatihah... (20 April1991-17 Agos 2011)

adikku...
pergimu satu kehilangan yang besar buat keluarga
bagaikan hilangnya sebutir mutiara yang bersinar
yang ada kini hanyalah kesuraman yang menyelubungi
hilang sudah segala gelak dan tawa manismu
separuh dari jiwaku kau bawa pergi 
terkadang ku rasa tak mampu untuk berdiri
kau susuli arwah ayah begitu cepat sekali..
masih belum reda rasanya kepedihan ini
mampukah aku untuk melalui dugaan ini
pedih sekali rasanya hati ini
payah sekali rasanya jiwa ini..
untuk ku lalui semua ini sendiri
kerana engkaulah sahabat engkaulah jiwaku
adikku...
aku percaya kini....
aku berserah semuanya
ku terima ketentuanMu Ya Robbi..
kerana hikmahMu tersembunyi
hambaMu ini terus menanti
jalan-jalan yang bakal ku lalaui nanti
agar segalanya lebih terisi
dengan kasih padamu Ya Ilahi..

adikku..
ku tahu rinduku ini
hanya akan lebih bermakna
ku pohon pada ilahi
agar engkau aman di sana
bersama arwah ayah tercinta...
Kau limpahkan rahmatMu Ya Allah..
agar mereka tenang di sana..
bersama-sama mereka yang Engkau Kasihi...
Amin....Ya Robbi.